Tuesday, May 05, 2015

Pengenalan dan Konsep Teknologi

Galbraith dalam Noriati A. Rashid et al.(2012) mentafsirkan teknologi sebagai keupayaan menggunakan pengetahuan sama ada pengetahuan saintifik atau pengetahuan lain yang tersusun secara sistematik sehingga mampu mempamerkan amalan yang praktikal dalam melaksanakan sesuatu tugas sehingga tugas tersebut mencapai kejayaan. Pengetahuan saintifik ialah himpunan ilmu dan pengetahuan yang telah diuji dan dinyatakan dalam bentik prinsip am, contohnya daun memerlukan karbon dioksida, air, dan sinaran matahari dalam proses fotosintesis. Uji kaji membuktikan bahawa daun berperanan sebagai kilang memproses makanan kepada pokok bergantung pada keselesaannya menerima air dan sinaran matahari. 

Sementara itu, pengetahuan lain pula merujuk kepada pengetahuan yang belum diuji atau dibuktikan secara saintifik tetapi telah diterima sebagai pengetahuan berdasarkan pengalaman dan pengamatan manusia terhadap sesuatu tindakan, misalnya ramuan daun semambu dan air mandian dipercayai mampu mengubati demam campak. Amalan ini diamalkann daripada satu generasi ke satu generasi berdasarkan pengalaman dan pengamatan khasiat daun tersebut menyembuhkan demam campak.


            Teknologi bukanlah ilmu pengetahuan dan alat semata-mata, sebaliknya ia turut menitikberatkan proses, kaedah, dan idea bagi memastikan penggunaan ilmu atau alat itu mencapai kejayaan. Sebilangan besar daripada kita beranggapan bahawa sekiranya kita memiliki sebuah komputer kita sudah berteknologi. Pemilikan sesebuah komputer tanpa pengetahuan menggunakannya tidak membawa erti apa-apa. Misalnya, peti sejuk tidak berperanan sebagai suatu perkakas atau alat yang berteknologi apabila ia tidak digunakan untuk mendinginbekukan makanan. Perkara ini menunjukkan bahawa pemilikan alat semata-mata tidak bermakna seseorang individu tersebut telah menguasai teknologi, sebaliknya beliau mestilah memahami dan mengetahui penggunaan alat tersebut terlebih dahulu dalam menyempurnakan fungsinya untuk mencapai sesuatu tujuan.

No comments:

Post a Comment