Tuesday, May 05, 2015

Kepentingan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pembelajaran Kendiri
Dalam sesuatu proses pembelajaran, kehadiran guru sekurang-kurangnya untuk memberikan arahan kepada pelajar untuk melaksanakan pembelajaran mereka. Namun begitu, penggunaan teknologi dalma pengajaran dan pembelajaran menjadikan pembelajaran kendiri dapat dilaksanakan tanpa kehadiran guru. Penggunaan pelbagai jenis teknologi dalam pembelajaran melatih pelajar agar bertanggungjawab terhadap perkembangan dan prestasi akademik mereka tanpa bergantung pada guru sepenuhnya. Misalnya, melalui tugasan yang disediakan oleh guru beserta arahan yang lengkap, pelajar boleh mencari dan mengumpulkan maklumat yang dikehendaki. Setelah memperoleh maklumat, pelajar juga dapat menyediakan peta minda dan bahan grafik lain untuk memindahkan bahan yang diperoleh kepada satu bentuk yang mudah difahami.


Meningkatkan Keberkesanan Pembelajaran
Teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran membantu guru menyampaikan isi kandungan pelajaran degan lebih baik. Penerangan dan penjelasan guru mengenai sesuatu perkara akan lebih mudah difahami apabila guru dibantu oleh pelbagai bahan dan peralatan yang mampu menterjemahkan maksud yang jelas berhubung dengan penerangan guru. Misalnya, dalam tajuk Punca Pencemaran Alam Sekitar, guru boleh menggunakan pelbagai slaid atau video untuk menunjukkan perlakuan manusia mencemarkan alam sekitar. Bahan visual yang menarik bukan sahaja meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk tersebut,malahan dapat meinggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa pelajar.

Membuka Peluang Belajar kepada Semua

Teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran membuka peluang belajar kepada sesiapa sahaja. Hal ini demikian kerana teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran telah mengubah sistem dan proses pembelajaran yang konvensional kepada suatu sistem yang lebih terbuka dan bebas. Melalui teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, pelajar boleh belajar dengan cara jarak jauh dan ini menjadikan proses pembelajaran lebih terbuka dan bebas. Selain itu, teknologi dalam pengajaran juga telah mengubah sistem pengajaran dan pembelajaran apabila pelajar mampu menguasai sebarang ilmu dan kemahiran hanya melalui komputer. Hal ini menunjukkan bahawa teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran mampu melahirkan masyarakat yang berilmu dan berpendidikan apabila peluang belajar terbuka luas melalui penggunaan teknologi.

No comments:

Post a Comment