Tuesday, May 05, 2015

Perkaitan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Sewaktu mengajar, guru akan menyampaikan maklumat kepada pelajar. Dalam proses ini, guru akan memberi dorongan kepada pelajar agar terlibat dalam proses menerima maklumat dan pengetahuan yang disampaikan oleh guru. Keberkesanan penyampaian maklumat oleh guru akan terbukti melalui perubahan tingkah laku pelajar, misalnya pelajar yang bacaannya kurang lancar akan menunjukkan peningkatan kelancaran bacaan setelah guru mengajarnya. Proses pengajaran dan pembelajaran kerap terhalang dan maklumat yang ingin disampaikan oleh guru tidak dapat diterima dengan baik oleh pelajar.  Sekiranya maklumat itu gagal diterima, pelajar tidak akan menunjukkan perkembangan dalam perubahan tingkah lakunya. Kegagalan penyampaian maklumat daripada guru kepada pelajar menyebabkan pelajar tidak mampu mentafsir diri dan kehidupan sekelilingnya dengan tepat. Masalah sendiri pun pelajar tidak mampu menanganinya, apalagi membantu pihak lain.

            Pengajaran guru yang berkesan bukan hanya memberi maklumat kepada pelajar, bahkan pelajar berupaya memproses maklumat tersebut dan mengaplikasikannya sehingga berlaku perubahan tingkah laku pelajar berkenaan. Sehubungan itu, guru seharusnya mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan supaya keupayaan pelajar dapat dikembangkan secaramaksimum. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu usaha meningkatkan keberkesanan dan kualiti ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh guru dapat diterima dengan lebih baik oleh para pelajar. Sebenarnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperbaik masalah dan kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada tahun 1930-an, alat-alat visual seperti filem, gambar, dan slaid dicipta untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran guru. Penciptaan alat-alat ini telah melahirkan definisi pertama tentang teknologi pengajaran yang dikenali sebagai komunikasi audiovisual pada tahun 1963 yang diperkenalkan oleh Department of Audio Visual Instruction(DAVI) yang memberi tumpuan kepada teori komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


            Di Malaysia, kita merujuk definisi yang dikeluarkan oleh Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia(1988) yang menyatakan bahawa teknologi dalam pengajaran merupakan proses yang kompleks dalam menganalisis keperluan pendidikan secara sistematik, saintifik, dan rasional untuk menyepadukan idea, tenaga, sumber bahan, serta kaedah dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran wajar diberikan ruang yang cukup untuk mengungkapkan definisi yang turut menumpukan pembinaan modal insan dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdaya saing,bukan sahaja dalam aspek intelek, malah dalam aspek emosi dan spiritual juga. Oleh itu, teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran tidak seharusnya terbatas dalam proses di bilik darjah semata-mata, sebaliknya aspek persekitaran kehidupan manusia juga harus diberi perhatian.

No comments:

Post a Comment